Saturday, February 13, 2010

Mun Yee Raya Sederhana




(Click to read article)

2010/02/12

HANYA tiga hari diperuntukkan untuknya menyambut Tahun Baru Cina kali ini, namun Leong Mun Yee menyifatkan tempoh singkat itu sudah memadai memandangkan banyak tugasan negara yang perlu digalasnya sepanjang musim ini.
BELUM BERSEDIA...Mun Yee mengutamakan sukan dan pelajaran ketika ini berbanding perkahwinan.

MASA REHAT...peluang bercuti sempena Tahun Baru Cina sangat bererti biarpun hanya beberapa hari.
Bukan tidak mahu menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarganya di Ipoh, Perak, tetapi ratu terjun negara yang lebih senang dengan panggilan Mun Yee tidak mahu terlalu leka hingga menjejaskan prestasinya di kolam renang.

"Menjadi atlit sememangnya memerlukan banyak pengorbanan dan ini satu daripadanya.
"Kiranya tahun ini adalah tahun kedua saya bernasib baik kerana dapat pulang menemui keluarga untuk menyambut perayaan itu kerana saya pernah meraikannya di luar negara selama tiga tahun berturut-turut, pada 2006 hingga 2008.

"Bagi saya, pengertian Tahun Baru Cina itu ialah menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga walaupun hanya beberapa hari. Itu antara cuti yang saya nantikan kerana kebiasaannya saya cuma berpeluang cuti satu atau dua hari dalam setahun," katanya.
Seperti keluarga yang lain, sambutan perayaan itu bermula pada malam sebelumnya di mana Mun Yee akan menikmati 'makan besar' bersama keluarga.

Penerjun berusia 25 tahun ini akan berangkat pulang ke Ipoh bersama abangnya pada petang Sabtu.

"Saya masih perlu menghadiri sesi latihan pada pagi Sabtu kerana jadual latihan tidak berubah.
"Selepas itu saya akan menumpang abang untuk pulang bersama-sama. Saya tak buat apa-apa persiapan pun untuk perayaan kali ini. Sama juga seperti tahun lalu.

"Biasanya semua persiapan dilakukan ibu, tahu-tahu semuanya sudah tersedia. Lagipun saya berada di Kuala Lumpur, jadi tidak sempat untuk menolong apa yang patut. Kami sekeluarga pun meraikannya secara sederhana saja," katanya.

Beralih kepada ceritanya di kolam renang, penuntut tahun kedua jurusan komunikasi di Universiti Putra Malaysia ini mahu menterjemahkan segala latihan dan debarannya di Kejohanan Siri Dunia yang akan berlangsung di China, Mac ini.

Mun Yee dan gandingannya, Pandelela Rinong mahu menjelmakan semula kejayaan yang diraih mereka menerusi tempat ketiga dalam Kejuaraan Dunia di Rome, tahun lalu, meskipun sedar cabaran kali ini lebih besar kerana hanya mereka yang menduduki enam posisi teratas dunia layak menyertai kejohanan berkenaan.

Di Rome, Mun Yee dan Pandelela melakar sejarah buat negara apabila menjadi atlit akuatik pertama meraih pingat gangsa dalam kejuaraan dunia menerusi acara terjun seirama 10 meter platform.

"Cabaran pasti meningkat setiap tahun kerana makin ramai kemunculan atlit muda yang cuba membuktikan kemampuan mereka.

"Selain itu, atlit sedia ada juga berusaha meningkatkan lagi prestasi mereka, menjadikan saingan makin sengit antara kami," kata Mun Yee yang menjadikan penerjun China, Fu Ming Xia sebagai idolanya.

Mun Yee berkata, dia dan Pandelela kini giat menjalani latihan intensif bersama jurulatih dari China, Yang Zhu Liang, untuk persiapan menghadapi kejohanan itu di samping persiapan awal sebelum melangkah ke Sukan Komanwel di New Delhi, India pada Oktober dan Sukan Asia di Guangzhou, China menjelang November.

Pada usia yang bakal mencecah 26 tahun, tidak terlintas di fikirannya untuk mengucapkan selamat tinggal kepada sukan ini walaupun kebanyakan rakan seangkatannya satu demi satu pergi meninggalkan arena atas faktor usia.

"Saya letakkan sasaran beraksi sehingga Sukan Olimpik London 2012. Ketika itu, usia saya 28 tahun dan saya hanya akan memikirkan mengenai persaraan selepas temasya itu. Saya pernah beraksi di Olimpik sebelum ini, tetapi tidak berjaya ke saringan utama.

"Jadi dengan adanya program Road To London ini, saya sasarkan ke saingan itu, sekali gus bawa pulang pingat. Tidak kira apa jua warnanya.

"Saya sedar faktor usia boleh mempengaruhi penampilan seseorang atlit. Tapi, saya lebih percaya kepada usaha keras, latihan tanpa henti serta keinginan yang perlu ada dalam diri seseorang atlit.

"Ramai atlit Malaysia sudah buktikan bahawa usia bukanlah penghalang untuk berjaya. Selagi mampu beraksi cemerlang, saya yakin wujud peluang untuk menyerlah.

"Bagi saya, usia hanyalah angka dan pertambahan usia menandakan seseorang itu makin matang dalam hidup," katanya.

Pada usia itu juga, kebanyakan wanita mula memikirkan masa depan mereka tidak kira daripada segi keluarga dan karier.

Mun Yee bagaimanapun mengakui masih belum bersedia menamatkan zaman bujangnya kerana komitmen pada sukan dan pelajaran walaupun sudah berpacaran selama beberapa tahun.
"Saya tidak cukup masa untuk diri sendiri, apatah lagi untuk berkahwin. Tidak dalam masa terdekat ini. Jadual saya padat dengan latihan, kejohanan dan kelas pengajian.

"Lagipun saya masih muda. Inilah masanya untuk saya rebut peluang yang ada, baik dalam sukan mahupun pelajaran. Mungkin selepas saya mencapai cita-cita sebagai wartawan penyiaran, barulah saya fikirkan mengenai perkahwinan," katanya.

Profil NAMA: Leong Mun Yee
TARIKH LAHIR: 4 Disember 1984
ASAL: Ipoh, Perak
ADIK BERADIK: Bongsu daripada tiga beradik
HOBI: Melancong, membeli-belah, menonton wayang
ACARA: Terjun papan anjal
MULA BERSAMA SKUAD KEBANGSAAN: 1995
ANTARA PENCAPAIAN:2009 - Sukan Sea Laos
2 emas (10m, 3m seirama)
1 gangsa (3m)2007 - Sukan Sea Korat
2 emas (1m, 3m seirama)
1 perak (3m)2006 - Sukan Asia Doha
2 gangsa (3m, 3m seirama)2005 - Sukan Sea Manila
2 emas (10m, 10m seirama)
MASA REHAT...peluang bercuti sempena Tahun Baru Cina sangat bererti biarpun hanya beberapa hari.

1 perak (1m)
2 gangsa (3m, 3m seirama)2004 - Piala Asia
2 gangsa (1m, 3m)2003 - Sukan Sea Vietnam
1 emas (10m)
2 perak (3m seirama, 10m seirama)
1 gangsa (3m)2002 - Sukan Asia Busan
1 gangsa (3m seirama)2001 - Piala Asia
1 perak (10m seirama)
1 gangsa (3m seirama)2001 - Sukan Sea Kuala Lumpur
4 emas (3m, 3m seirama, 10m, 10m seirama)2000 - Kejohanan Peringkat Umur Asia Pasifik
2 emas (3m, 10m)
STATISTIK PENYERTAAN:
Sukma: 4 kali (1996, 2000, 2002, 2004)
Sukan Sea: 7 kali (1997, 1999, 2001, 2003, 2005, 2007, 2009)
Sukan Asia: 2 kali (2002, 2006)
Sukan Olimpik: 3 kali (2000, 2004, 2008)